welcome

Tuesday, October 21, 2008

Sahabatku


Sejuta syukur kepada Maha Pengasih, atas segala rahmat-Nya. Salam penuh kasih sayang dengan harapan kita lebih dekat kepada-Nya. Bagi diriku di sini usah di bimbangkan, masih dalam keadaan sihat dan masih dipanjangkan umur untuk terus menikmati dan menghirup nikmat Illahi...

Sahabatku,
Aku minta maaf andainya kedatangan warkah ini bisa menganggu situasimu. Warkah ini di utuskan hanyalah sebagai pengganti diri ini, untuk terus merapat tali silaturahim antara kita...

Mudah-mudahan apa saja yang kita lakukan tidak akan tergelincir dari landasan, tidak terpesong dari jalan yang telah diberi. Memang mudah memberi alasan, bahawa kita insan nan lemah, serba kekurangan dan sentiasa tidak dapat lari dari kesilapan. Bagaimanapun, kita tentu mengerti antara membiarkan diri tergelincir dengan berusaha mengelak diri dari tergelincir.

Jika tidak masakan lahir ungkapan-ungkapan berkias bagi menggambarkan keadaan, bagi menilai situasi sebenar yang berlaku. Jangan bermain dengan api jika takut terbakar. Sifat api itu memang membakar, namun kita inilah yang perlu pandai menggunakan dan mengawal api jika tidak mahu terbakar olehnya.

Namun kita ini memang sukar untuk diramal cara pemikirannya, sukar diduga apa yang ada di dalam kepala serta hatinya. Malahan kita juga kadangkala tidak mengerti diri sendiri, apatah lagi ingin memahami orang lain. Bagaimanapun kita ini saling memerlukan, saling mencukupkan mana-mana yang kurang. Kerana kita bukan hidup sendirian.

Tiada sesuatu yang akan kita perolehi secara percuma. Apa jua, memerlukan usaha atau mungkin kita harus membayarnya. Namun ada hal-hal yang kita ini ingin perolehi tak boleh bayar dengan wang ringgit berjuta – kerana bukan itu nilainya. Mungkin sesuatu itu akan kita perolehi hanya dengan keimanan, ketakwaan, keikhlasan, kejujuran atau segala macam bentuk kejiwaan.

Belayar di lautan kehidupan, biarpun kita tahu ke mana arah yang hendak dituju. Kita telah di arah yang harus dituju. Telah disediakan kemudi, telah diberi pendayung...tinggal cuma melayarkan bahtera kehidupan sahaja. Namun, kita jangan lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepaskan kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari. Mungkin kita patut renungkan seketika – dugaan dan kesusahan itu suatu nikmat, sedangkan kesenangan itu suatu cabaran dan tanggungjawab berat.

Kasih sayang adalah memberi apa adanya, dengan segala dayanya. Walau bagaimana sekalipun keterbatasannya, sebolehnya seseorang mahu memberikan apa saja yang mampu menyenangkan orang yang dikasihinya. Bukanlah balasan kasih sayang yang diharapkan oleh seorang pencinta sejati, walaupun itu menjadi sesuatu yang melegakannya. Menjadi anak yang sejati, senyum dan kebahagiaan orang yang dikasihinya itulah yang menjadi matlamatnya.

Kasih sayang adalah menceriakan, seperti bunga-bunga indah di taman yang membawa kesegaran bagi yang memandangnya. Seperti rumput-rumput hijau di padang nan luas, yang kehadirannya menyegar dan menyejukkan perasaan. Seperti taburan pasir di pantai yang memberi kehangatan seiring tiupan angin yang menawarkan kedinginan. Dan seperti keindahan seluruh alam yang menghadirkan kekaguman terhadapnya. Kasih sayang adalah berkorban, bagai lilin yang membakar diri memberi cahaya di tengah kegelapan. Hingga titik terakhirnya, ia masih berusaha memberi cahaya menerangi kegelapan. Bagai mentari, meski terkadang dikeluhkan kerana teriknya, namun sentiasa memancarkan cahaya ke serata alam. Semua kisah besar dunia, berawal dengan kasih sayang. Maha Pencipta menciptakan makhluk bernama manusia ini pun kerana kasih sayang.

kasih sayang juga ibarat hayunan kaki melangkah yang membina lautan kebaikan. kasih sayang adalah tangan-tangan yang menebar hamparan permaidani kasih sayang. Kasih sayang adalah hati yang selalu berharap dan mewujudkan dunia dan kehidupan yang lebih baik. Kasih sayang selalu berkembang, ia seperti udara yang mengisi ruang kosong. Kasih sayang juga seperti air yang mengalir ke dataran yang lebih rendah.

0 comments:

bila muzik mula berbunyi mengalunkan lagu~